Friday, May 21, 2010

Kenapa Ummi Yang Mengandung?

"Ummi, susah tak bawa adik dalam perut?" tanya Saiful Islam.

"Tentulah susah. Berat tahu! Boleh tambah dua puluh kilogram!"

Tentu sahaja susah. Tidak ada suatu tugas berat yang dipikul oleh seorang manusia seberat proses mengandung dan melahirkan anak. Hilang selera makan, muntah-muntah, demam, urat berpintal-pintal di kaki, tubuh bengkak air, sakit pinggang dan serba serbi jadi tidak kena.

Itulah realitinya sebuah kehamilan.

"Kenapa abi tak mengandung? Abi kan kuat?" tanya Saiful Islam.

"Haha, budak ni! Abi mengandung juga, tapi tak ada baby!" si ayah bergurau.

Anak-anak kebingungan.

Benar sekali!. Jika difikirkan beban mengandung, bukankah lebih wajar Allah SWT jadikan para suami yang mengandung. Mereka ada kekuatan fizikal. Mahu mengangkat tong gas di atas bahu kanan dan kiri pun tidak menjadi masalah. Sepatutnya kekuatan fizikal itu digunakan untuk memikul tugas yang berat ini...hamil dan seterusnya melahirkan anak.

Namun terkenangkan kepada kata-kata Imam al-Ghazali, bahawa, "Lelaki diciptakan Allah sembilan rasioanal, satu emosi dan perempuan diciptakan Allah satu rasional, sembilan emosi."

Ya, kekuatan wanita itu adalah pada emosinya. Tinggi EQ(Emotional Quotient)!. Emosi itulah kelayakan untuk seorang manusia hamil.

Emosi untuk sabar dengan berat dan payahnya sembilan bulan mengandung. Emosi untuk membelai, memberi makan kepada kandungan sperti memberi makan pada diri sendiri. Emosi yang kerana emosi itulah, alam bayi dalam kandunagn digelar Alam Rahim, iaitu 'alam kasih sayang'.

Kasih sayang yang sulit untuk ditemui dalam jiwa lelaki, biarpun fizikalnya sasa dan mentalnya berkuasa dan disebabkan itulah ummi yang mengandung bukan abi.

~Murabbi Cinta/Hasrizal Abdul Jamil~



Memahami Ibadah

Sesetengah ibu bapa berpuas hati kalau anaknya menghafal doa. Doa sebelum dan selepas makan dan keluar tandas dan macam-macam lagi. Harus diketahui Allah SWT tidak memandang pada doa yang datang daripada hati yang alpa. Salah satu kealpaan hati yang terjadi ialah apabila diungkapkan tanpa mengrtahui akan maknanya.

Ia bukan sahaja soal bahasa doa itu Bahasa Arab, malah jika doa itu dalam bahasa pertuturan seharian kita sekalipun, ia mungkin doa yang tidak difahami andai pembacaanya hasil hafalan semata-mata.

"Yop, bacalah doa. Keretapi sudah mahu bergerak," pesan ayah kepada anak.

Mereka berdua dalam perjalanan balik ke Ipoh. Si ayah mempunyai tugasan di Ipoh, dan membawa seorang anak dapat meredakan sedikit 'perang saudara' mereka adik-beradik di rumah.

"Yop tak ingatlah. Susah doa tu," katanya.

"Apabila kita berdoa, kita minta apa, Yop?" Si ayah cuba mengorek apa yang anak dia faham tentang doa.

"Kita minta selamat. Minta Allah tolong," jawab si anak.

"Hah, mintalah keselamatan dan pertolongan daripada Allah."

"Ya Allah, Yop dan abi nak pergi rumah opah. Selamatkanlah kami. Selamatkanlah keretapi. Bagilah kami selamat sampai, dapat jumpa opah, dapat jumpa Pak Long. Amin," doa si anak, tulus.

Entah kenapa, si ayah berasa sangat sebak hati mendengarnya. Perkataan yang diungkapkan oleh si anak, tulus daripada hati dan fikirannya yang faham dengan apa yang diminta, sungguh bermakna. Mudah-mudahan di sisi Allah, doa sedemikian lebih besar harganya.

Petikan dari buku Murabbi Cinta/Hasrizal Abdul Jamil



Kita Tetap Bersama….

Alangkah seronoknya jika kami dapat pergi bertiga. Namun, apakan daya, Allah telah mengatur segalanya. Kalau diimbau kembali kenangan kami bersama, mereka berdua yang paling semangat hendak ke sana. Kalau tanpa mereka, aku pun tidak akan ke sana. Mereka yang ajak aku ambil ujian penilaian ini. Dalam keadaan yang tidak bersedia, kami bertiga gagahkan kaki jua melangkah masuk ke dalam Dewan Kuliah 2. Lalu, kami menjawab soalan Bahasa Arab yang agak senang bagi mereka yang memang bersedia, tetapi amat sukar bagi kami yang datang yang hanya berbekalkan semangat di jiwa. Dua tahun semenjak kami melangkahkan kaki ke Universiti Malaya Kuala Lumpur, kami mula berenggang dengan Bahasa Arab. Banyak kosa kata yang kami lupa. Namun, disebabkan semangat kami bertiga membara, kami terus mencuba. Tidak lama selepas itu, keputusan penilaian diumumkan. Sedih, gembira dan kecewa datang mengunjung tiba. Sudah tentu ada yang kecewa dan berduka. Inilah saat yang paling sukar. Apa yang aku bangga dengan mereka, mereka tetap memahami dan tabah menghadapi. Atas desakan mereka juga aku terima tawaran ke Mesir ini. Namun dalam hati aku, tidak pernah lekang mendoakan sesuatu yang mustahil tejadi. Tinggi harapan aku untuk kami bersama pergi. Bagi aku tawaran ini bukan atas dasar layak atau tidak kami pergi, tetapi ini bergantung pada rezeki. Mungkin ada hikmah yang tersembunyi, yang kami sendiri tidak pasti. Teman, aku sentiasa doakan kalian akan sampai ke Mesir suatu hari nanti. Jangan pernah putus asa berdoa padaNya, insyaAllah, Dia akan memakbulkan doa kita dan ingatlah, Allah sentiasa berikan yang terbaik untuk kita. Aku ke Mesir bukan seorang diri, tapi aku bawa bersama semangat kalian berdua yang sentiasa menemani diri ini. InsyaAllah, ilmu yang diperolehi akan aku kongsi bersama. Doakan aku, supaya sentiasa berada dalam niat menuntut ilmu, dan tolong doakan aku selamat sampai dan selamat kembali ke Malaysia. Terima kasih kepada kalian dan terima kasih kepada yang telah mendoakan. Semoga Allah memberkati hidup kalian dan semoga Allah memakbulkan doa kalian…..



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...