Saat mula-mula aku jumpa, serius memang tak suka. Memang kalau boleh tak nak jumpa.
Saat itu umur aku baru 7 tahun, mak suruh aku belajar mengenali Mr.R. Aku cuba tapi aku tetap tak suka.
Aku selalu tipu belakang mak. Macam-macam yang aku buat, supaya aku ada peluang untuk mengelak DIA. Sebab aku rasa bila Mr. R datang, aku tak dapat jalani kehidupan aku yang NORMAL.
Sampai aku sekolah menengah, Mr. R tak pernah jemu tunggu aku. Kawan-kawan aku semua gembira berjumpa Mr. R. Aku malas nak layan, tapi aku gagahkan juga diri ini jumpa DIA. Kali ini lain aku macam rasa lain, macam cinta baru nak berputik. Malas nak fikir banyak, so tak nak amik port sangat.
Memang setia Mr. R nie, aku masuk Nilam Puri menjalani kehidupan sebagai pelajar asasi, dia masih menemani aku. Kawan-kawan aku, sangat gembira dan sangat rapat dengan Mr. R. Aku jadi cemburu. Semakin lama, aku macam dapat rasakan yang aku sukakan DIA. Oooopss..!!! Makin lama aku kenal, makin aku kenal hati budi DIA.
Sehingga aku ke Menara Gading. Aku dapat rasakan DIA sangat special. Mak aku dah tak paksa, tapi aku sendiri yang rela. Sekarang aku makin dewasa, aku rasa memang DIA yang aku rindui. Bila DIA tak ada, aku akan cari dan tunggu. Rindu dan sangat rindu.
Genap usiaku 25 tahun, aku menyambut hari lahir bersama DIA. Ini kali pertama sepanjang umur hidupku. Ya Allah memang sangat terharu dan betul-betul bersyukur. Rupanya DIA tidak pernah jemu datang dan menunggu aku, cuma aku yang ego padanya. Sebenarnya, baru aku tahu yang Aku cinta kamu Mr. R. Kenangan bersama setiap malam bersamamu, tidak akan pernah aku lupakan. Aku mengharapkan jodoh kita berkekalan untuk tahun ini dan tahun-tahun yang akan datang. Walau apa pun, aku akan cuba mencintaimu sepenuh hatiku. InsyaAllah.
Oooh, Mr. R you are so special...!!!!
Engkau yang mengajar aku erti menahan lapar dan dahaga, menahan diriku dari segala perbuatan keji dan mungkar. Memang benar, padamu terkandung nikmat cinta yang besar kepada Sang Khalik. Memang benar dulu aku benci kamu, kerana saat itu aku yang masih belum dapat mengerti dirimu, betapa jahilnya aku. Aku akan terus cuba menjadi terbaik sepanjang kau menemaniku dan bila tiba saatnya kau tinggalkan aku, aku akan tetap berusaha menjadi yang terbaik untuk Penciptamu. Alhamdulillah, syukur atas nikmatMu Ya Rabb, kerana Engkau telah mengenalkan aku dengan Mr. Ramadan.

No comments:
Post a Comment