Assalamualaikum,
27 Jun 2011, Isnin
Di saat ini duit yang tinggal di dalam dompetku hanya RM 10 tidak lebih dan tidak kurang. Itu pun hasil pemberian ibuku. Ibuku mengerti aku sudah benar-benar tiada wang perbelanjaan. Maka dihulurnya RM 20, tetapi aku menolak hanya mengambil RM 10, kerana perasaan malu. Masakan ibu yang memberi aku duit, sepatutnya aku yang memberikan ibu duit.
Hari yang masih menunggu berjumlah 5 hari. Mampukah dengan hanya berbekal RM 10 aku hidup di bandar ini. Aku juga perlu makan dan minum. Duit minyak lagi untuk aku ke tempat kerja. Mujurlah aku hanya menaiki motosikal beroda dua. Pagi itu aku sangat lapar, tiada sarapan yang boleh dimakan di rumah, tambahan lagi aku sudah terlambat untuk ke tempat kerja. Aku sudah membuat perhitungan, aku perlu membeli makanan yang dapat membuatkan perutku bertahan sehingga ke tengahari dan yang paling penting murah. Sekiranya aku berbelanja lebih daripada RM 5, hari-hari berikutnya aku akan kelaparan. Jadi aku hanya mendapatkan sekeping Roti Telur dan sebungkus Teh Ais. semuanya berjumlah RM 3. Bakinya masih ada RM 7.
Teh Ais masih berbaki dan sempat menunggu sehingga ke tengahari. Roti yang aku makan hanya dapat menampung perutku selama beberapa jam. Pekerjaan aku pula melibatkan kanak-kanak, membuatkan aku banyak menggunakan tenaga. Masuk sahaja pukul 12 tengahari, perut sudah mula memainkan iramanya. Aku cuba bertahan, kerana masalah duit yang aku hadapi.
Tepat 2.30 petang, aku tidak mampu bertahan lagi. Angin dalam badan sudah mula naik ke kepala. Aku tidak dapat meneruskan kerjaku. Lantas aku ke pantri mencari apa yang aku boleh suakan ke mulut untuk dihadamkan ke dalam badanku ini. Aku buka Rice Cooker yang biasanya di dalamnya ada nasi yang ditanak Makcik Siti, pembantu di sekolah. Aku tekad, untuk makan nasi putih dengan kicap sahaja.
Apabila aku buka periuk nasi tersebut, aku dapati nasi minyak yang sungguh harum baunya. Alhamdulillah, rezeki aku. Makcik Siti bawa daripada rumah. "Nasi semalam cikgu, saya dapat. Ada orang bagi pada saya. Makanlah cikgu, tapi maaflah tiada lauk" ulas Makcik Siti tanpa aku pinta. "Saya ambil sikit ya makcik. Takpe lah tiada lauk, saya makan macam nasi goreng" aku betul-betul bersyukur ketika itu. Allah turunkan rezekinya kepada aku melalui Makcik Siti.
Rakan sekerjaku melihat aku makan tanpa lauk lantas menegur " Hai makan nasi je..?". Aku membalas "Sedap apa makan macam nasi goreng, boleh kurangkan kalori". Padahal, aku malu untuk memberitahu mereka yang sebenarnya aku sudah betul-betul kekurangan duit.
Alhamdulillah, untuk hari Isnin aku dapat rezeki yang tidak diduga. Hari berikutnya belum tahu lagi. Cuma aku harap, tiada apa-apa yang akan berlaku yang memerlukan duit sepanjang tempoh lima hari sebelum aku mendapat gaji aku. Aku betul-betul menghargai RM 10 yang aku ada. Aku benar-benar berharap supaya aku terus dapat menghargai nikmat-nikmat yang Allah kurniakan kepadaku sepanjang aku hidup di dunia ini.
Yang benar,
- Wan -
No comments:
Post a Comment